Melancong ketika hamil nyata berbeza dengan percutian biasa dilakukan sebelum ini.
Selain meraikan kegembiraan bakal menimang cahaya mata, bercuti
ketika hamil sering dikatakan peluang terakhir untuk anda dan pasangan
berdua-duaan sebelum memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.
Melancong ketika hamil memberi ketenangan kepada si ibu, sekali gus memberi pengaruh baik kepada bayi dalam kandungan.
Namun, bagi ibu mengandung yang ingin bercuti, perancangan percutian yang lebih fleksibel amat dituntut.
Bercuti di dalam atau luar negara tetap memerlukan ketelitian dalam
perancangan dan punya banyak perkara yang perlu dititikberatkan.
Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu anda bakal ibu yang ingin bercuti sambil merehatkan diri di destinasi idaman.
Berjumpa doktor anda
Lakukan pemeriksaan dan tanyalah doktor sama ada keadaan kehamilan
memungkinkan anda bercuti. Bagi tahu doktor mengenai perjalanan yang
dirancang dan minta dia membuat surat rujukan mengenai keadaan kandungan
anda.
Dokumen itu boleh digunakan bila-bila masa sepanjang anda bercuti atau ketika menaiki kapal terbang.
Kehamilan bukanlah penghalang untuk anda menaiki kapal terbang,
namun ramai yang risau. Justeru, tanya juga keadaan kandungan anda
berkaitan dengan tekanan udara rendah atau tinggi saat menaiki kapal
terbang.
Jangan lupa bawa buku kehamilan anda. Selain laporan doktor, buku
itu sangat berguna jika anda mengalami sebarang masalah dan perlu
pemeriksaan doktor.
Periksa penerbangan anda
Kebanyakan syarikat penerbangan menetapkan syarat-syarat penerbangan
buat wanita hamil. Justeru, periksa kembali syarikat penerbangan anda
untuk memastikan anda boleh mengikuti penerbangan itu.
Namun, kebanyakannya tidak membenarkan wanita hamil mengikuti penerbangan jika kandungan mencecah 35 minggu.
Bagi kehamilan antara 28 hingga 34 minggu, anda memerlukan surat pengesahan daripada doktor selain mengisi satu surat akuan.
Apa yang pasti, semua syarikat penerbangan tidak membenarkan wanita hamil pada bulan terakhir menaiki pesawat.
Perjalanan menggunakan kereta
Jika anda menaiki kereta saat bercuti, rancang perjalanan yang dekat
dan singkat. Pastikan anda berhenti untuk mendapatkan rehat yang banyak
dan melunjur kaki ketika berehat.
Jika perjalanan anda mengambil masa lebih empat jam, banyak kemungkinan yang boleh berlaku dan tidak baik untuk kesihatan.
Anda juga mungkin boleh mengalami kekejangan dan risiko lainnya.
Justeru, pastikan anda berhenti berehat di sepanjang perjalanan.
Pengambilan vaksinasi perjalanan
Saat bercuti di luar negara, ramai yang tertanya-tanya adakah ketika hamil boleh mengambil vaksin perjalanan?
Doktor pasti tahu vaksin apa yang anda perlukan di negara yang dituju dan selamat diambil semasa hamil.
Namun, cara terbaik ialah jangan kunjungi negara di mana vaksinasi diperlukan semasa anda hamil.
5Jaga pemakanan
Walaupun tujuan anda bercuti adalah untuk bersantai dan meraikan
keseronokan bakal bergelar ibu, banyak yang perlu anda fikir sepanjang
bercuti terutama makanan.
Walaupun anda sedang bercuti, anda masih lagi boleh makan dengan
baik dengan memperhatikan setiap zat makanan yang dimakan sepanjang
bercuti.
Bawa banyak snek seperti buah-buahan kering dan kepingan bijirin
dalam beg galas anda supaya anda tidak akan merasa loya atau hendak
pitam jika lambat makan.
Hindari minuman berkarbonat dan makan makanan yang boleh membuang angin supaya anda akan sentiasa selesa sepanjang perjalanan.
Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan
sembelit serta meneruskan pengambilan makanan yang baik untuk anda dan
juga bayi dalam kandungan.
Banyak minum air kosong
Adalah penting bagi anda mengelak daripada ternyahhidrat ketika
hamil. Oleh itu, mengambil air kosong atau mineral sepanjang bercuti
adalah sangat digalakkan.
Ini kerana, pengambilan air yang banyak dapat mengelakkan kekurangan
badan dalam air terutama terlalu lama terkena penghawa dingin.
Selain itu, dengan meminum air kosong atau mineral yang banyak juga
dapat membantu anda untuk lebih sihat dan ceria sepanjang percutian.
Pakaian yang sesuai
Memakai pakaian yang bersesuaian dengan destinasi yang dituju adalah perkara utama yang dititikberatkan semasa melancong.
Dengan itu, pakailah pakaian yang longgar, selesa dan dapat menyerap
peluh dengan baik kerana anda akan lebih ceria serta selesa berkunjung
ke mana-mana dengan pakaiana yang bersesuaian.
Kasut atau sandal yang digunakan juga perlu bersesuaian dengan
keadaan anda yang sedang hamil dan elakkan menggunakan kasut tumit
tinggi.
Kasut rata dengan sokongan untuk tulang belakang adalah pilihan
kasut yang sangat tepat. Dengan kasut yang sesuai, anda boleh menikmati
keindahan tempat yang dilawati dan sudah pasti kaki anda tidak kebas
atau sakit.
Penggunaan sarung kaki khas yang dapat membantu pengaliran darah
dari pergelangan kaki ke jantung dan paru-paru juga pasti menambahkan
keselesaan anda sepanjang bercuti.
Aktiviti yang perlu dielakkan
Ketika hamil, banyak aktiviti menyeronokkan yang tidak sesuai dengan keadaan diri dan perlu dielak saat melancong.
Aktiviti yang boleh menyebabkan anda terjatuh seperti meluncur
salji, menunggang kuda, luncur air, luncur angin dan mendaki perlu
dielakkan.
Selam skuba dan sukan bertekanan perlu dielakkan kerana buih udara
boleh terbentuk dalam salur darah anda dan disalurkan kepada bayi.
Selain itu, elakkan juga permainan “roller coaster” dan gelungsur
air di taman tema. Pendaratan kuat dan kecepatan atau kelambatan secara
tiba-tiba tidak baik untuk anda.
Baik juga anda lupakan sementara kolam air panas dan sauna kerana
kepanasan yang keterlaluan tidak baik untuk bayi. Selamat bercuti!
No comments:
Post a Comment